BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Showing posts with label Hukum. Show all posts
Showing posts with label Hukum. Show all posts

Thursday, January 8, 2009

Hukum Merai Perayaan Lain

Pelbagai fatwa telah dikeluarkan berhubung isu ini. Sebagai contoh, Ibnul-Qayyim dalam bukunya Ahkamu Ahli az-Zimmah 1/205 menyatakan,
"Menyampaikan ucapan selamat terhadap syiar-syiar kekufuran yang bersifat khusus adalah haram menurut kesepakatan ulama, seperti ucapan di saat perayaan atau puasa mereka".

Fatwa MUI (Majlis Ulama Indonesia yang dipengerusikan oleh Syeikh Hamka) pada tarikh 7 Mac 1981 juga mengeluarkan fatwa yang mengharamkan umat Islam Indonesia merayakan bersama perayaan Hari Krismas atau Hari Natal kerana perayaan itu berbentuk ibadah dan bercanggah dengan aqidah umat Islam.


Fatwa ini adalah berdasarkan beberapa nas, antaranya, hadis nabi yang bermaksud, "Ketika Rasul sampai di Madinah, penduduk Madinah merayakan dua hari (raya) yang mereka bermain (berseronok) pada hari-hari tersebut... Apabila Nabi melihat mereka menyambut dua hari tersebut Nabi bertanya, ‘Hari apakah kedua-dua hari ini?'. Mereka menjawab, ‘Adalah kami di zaman jahiliah bermain (berseronok) pada dua hari ini'. Maka Nabi bersabda, ‘Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik daripada kedua hari tersebut iaitulah hari raya Aidiladha dan Hari raya Aidilfitri'."


Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasaii daripada Anas Bin Malik. Imam Ibn Taimiyyah berkata, "Sesungguhnya sanad hadis ini adalah berdasarkan syarat Muslim".



Umat Islam Disuruh Berbaik-Baik


Walau bagaimanapun, di satu sudut yang lain umat Islam disuruh berbaik-baik dan bertoleransi dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi kita. Allah berfirman dalam surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud, "(Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".


Dalam surah an-Nisa' ayat 36 pula Allah berfirman,

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh".


Menurut Imam al-Qartubi dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, "Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap mereka yang Muslim ataupun yang kafir. Inilah pendapat yang sahih. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman".


Justeru, setelah mengambil kira kesemua ini, secara dasarnya kita tidak diizinkan untuk merayakan dan menghidupkan syiar agama lain seolah-olahnya ia merupakan sebahagian daripada syiar kita. Hal ini tetap dilarang oleh agama selaras dengan apa yang fatwakan oleh ulama sebelum ini. Namun untuk melafazkan ucapan selamat kepada mereka dengan niat untuk memelihara hubungan baik dengan mereka maka ia tidaklah dilarang.


Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan dilaporkan di IslamOnline.net bertarikh 23 April, 2006, "Maka tidaklah salah untuk bertukar-tukar hadiah dengan mereka yang bukan Islam. Seseorang Muslim dibenarkan untuk mengucapkan selamat kepada yang bukan Muslim pada hari perayaan mereka dan ini menjadi satu kewajipan jika yang bukan Muslim itu mengucapkan selamat pada hari perayaan yang disambut oleh orang-orang Islam. Malah tidaklah salah menghantarkan kad pada hari perayaan mereka selagi mana tidak terdapat padanya logo-logo dan lambang yang bercanggah dengan akidah Islam".


Tambahan daripada itu, mengikut at-Tahawi dalam Sharh Mushkil Al-Athar, agama tidak melarang umatnya dari menerima hadiah atau memberi hadiah kepada mereka yang bukan Muslim selagi mana hadiah-hadiah ini tidak termasuk dalam perkara yang jelas diharamkan agama, seperti arak dan babi. Hal ini disebabkan Nabi pernah menerima hadiah daripada Raja Mesir (yang bukan Muslim) dan daripada yang lain yang seumpamanya.


Bagaimana pula dengan mereka yang baru memeluk Islam sedangkan keluarga mereka tetap berada dalam kekufuran, adakah mereka diizinkan untuk kembali ke rumah keluarga mereka untuk makan bersama-sama di samping beramah mesra dengan sanak saudara pada hari perayaan mereka?


Berhubung dengan ini Dr. Jamal Badawi, ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), dan Syeikh Ahmad Kutty, tokoh agama dan pensyarah kanan di Islamic Institute of Toronto, Ontario, Kanada, memfatwakan, adalah harus seseorang itu kembali untuk menziarahi keluarganya yang bukan Muslim dan makan bersama-sama mereka pada hari perayaan itu. Walau bagaimanapun perlu dipastikan di dalam majlis itu tidak terdapat unsur-unsur yang haram, seperti arak dan yang seumpamanya. Adapun penglibatan dalam aktiviti berunsurkan keagamaan secara khusus, ia tetap dilarang dan diharamkan. Ketika beramah mesra dengan sanak saudara, mereka hendaklah mengambil kesempatan itu untuk menerangkan kepada mereka tentang Islam.



Fatwa ini dilaporkan di IslamOnline pada 22 Disember 2005.

Disusun dan edit untuk mindasuper.com oleh Dr. Danial Zainal Abidin
(www.mindasuper.com)

Friday, December 19, 2008

Hukum Botox dan Braces

Isu Botox telah dibincangkan dan diftawakan oleh Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25 hingga 27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya Botox adalah haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan dan bersifat najis.

SEBAB UTAMA BOTOX HARAM
Bagaimanapun isu utama yang menyebabkan ia menjadi Haram pada pandangan Shariah adalah :-

a) Unsur najis dan kotoran di dalam bahan BOTOX ; kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.
Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut "Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat"

b) Pengubahan Ciptaan Allah Tujuan Tambah Kecantikan : Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal.

Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya





Terdapat juga hadith yang menyebut :
"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)

Tatoo, iaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatoo sebahagian besar dari tubuhnya. Bahkan dimasa pengikut-pengikut agama membuatnya tatoo dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan-perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatoo itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatoo ataupun orang yang minta ditatoo.



KIKIR GIGI DAN ‘BRACES'
Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadith di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Karena itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat.

Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Dalam hal ini Rasulullah pernah melaknatnya, yaitu seperti tersebut dalam hadisnya:
"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang disebut ‘al-Falaj', yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik. Adapun pada hari ini, kebanyakkannya sudah menukar ‘style' mereka kepada merapatkan gigi menggunakan ‘braces' yang yang bertujuan MENCANTIKKAN susunan gigi. Ketika itu, hukum haram yang sama jatuh pada perbuatan merapatkan gigi bagi tujuan kecantikan. Adapun jika ia dilakukan bagi inidivud yang mengalami kemalangan dan bertujuan mengubatnya, ia menjadi harus.

Dari hadis-hadis yang telah kita sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memenuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan RasulNya, karena di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ‘show' dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.

Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut :
"Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran" (Al-Halal wal Haram Fil Islam )

c) Unsur Penipuan : Mengandungi unsur penipuan yang diharamkan Islam.
Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.

Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :
"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)

Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam. Hal ini samalah seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki yang kulitnya sudah kelihatan tanda ketuaan, bagi mengekalkan rupa mudanya, maka mereka melakukan botox dan lebih teruk lagi susuk.

SUSUK & SIHIR
Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran.

Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:
"Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)

Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Nabi bersabda:
"Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, iaitu:
1) menyekutukan Allah;
2) sihir;
3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak;
4) makan harta riba;
5) makan harta anak yatim,
6) lari dari peperangan;
7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:

"(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:
"Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.

Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

KESIMPULANNYA
Botox atau pembedahan plastik yang dibenarkan ialah jika tidak dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.

Tujuan yang tidak dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari apa yang dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.

Syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.

Peraturan umum kecantikan Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja; mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.
Jika botox itu menggunakan bahan suci sekalipun, ia tetap haram kerana dua ‘illah(sebab utama) pengharaman masih ada.

Sekian.

SUMBER: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
http://soaljawab.jais.gov.my