BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 4, 2008

USRAH MINGGU PERTAMA


USRAH TUNJANG TARBIYYAH





Definisi Usrah

Istilah Bahasa Arab = keluarga.


Dari segi istilah = kumpulan individu muslim (afradul muslim) yang beriman dengan Allah s.w.t., berusaha tolong menolong antara satu sama lain untuk

memahami dan menghayati Islam.


Kepentingan usrah bagi umat islam, antaranya:

1. Membentuk satu ikatan perpaduan yang dibina atas dasar aqidah Islamiyyah

2. Ikatan terjalin dengan satu ikatan persaudaraan Islam (ukhuwwah Islamiyyah).

3. Merupakan medan tarbiyyah dalam usaha membentuk generasi yang memahami Islam dan sanggup berjuang untuknya.



Matlamat/Tujuan Usrah

1. Meningkatkan dan memantapkan kefahaman ahli usrah tentang ajaran Islam yang syumul.

2. Mengukuhkan semangat ukhuwwah Islamiyyah dan memupuk semangat bertindak secara berjemaah.

3. Menambahkan penghayatan Islam dan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap Islam.

4. Membentuk satu generasi yang benar-benar memahami Islam, beramal dengan ajaran Islam dan bersedia untuk memperjuangkan agama Allah s.w.t.


Rukun Usrah


Rukun usrah terdiri daripada 3 perkara iaitu:

a) At-Ta’aruf (berkenalan)

1) Berkenalan secara mendalam yang menimbulkan kasih sayang yang mesti dibuktikan dengan amalan dalam kehidupan seharian, bukannya sekadar teori semata-mata.

2)Perkenalan daripada kedua belah pihak, salbi dan ijabi, pemberi dan penerima, kenal yang benar-benar tahu selok- belok saudara kita, supaya kita dapat membuat dan bertindak atau memberi tanggungjawab yang sesuai dengan dirinya.

Firman Allah s.w.t. maksudnya:

“Sesungguhnya setiap orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara kamu” [Al-Hujurat : 10].

Firman Allah s.w.t. lagi:

“...dan hendaklah kamu semua berpegang kepada tali Allah kesemuanya dan janganlah kamu berpecah belah....” [Ali Imran : 103].

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Seorang mukmin bagi mukmin yang lain seperti bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain”.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Orang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak juga rnembiarkannya”.

Dalam sebuah riwayat lain, baginda bersabda:

“Perbandingan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang mereka, belas kasihan sesama mereka dan perasaan simpati mereka, adalah seperti badan yang satu; apabila mana-mana anggota badan mengadukan hal, maka seluruh badan akan menaсggungnya dengan berjaga malam dan merasai demam.”


b) At-Tafahum (faham-memahami)

· Saling faham memahami sesama ahli usrah bertujuan supaya dapat membuahkan suatu sikap, suatu tindakan hasil daripada sama-sama faham, sama-sama beramal dengan bersama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sesama ahli dan disusuli dengan nasihat–menasihati antara satu dengan yang lain.

· Namun harus diingat dan diberi perhatian agar nasihat-menasihati ini tidak menimbulkan perasaan tidak senang dalam usrah.

· Dalam memberi nasihat, kedua-dua pihak haruslah bersedia menerima nasihat dan berterima kasih atas nasihat tersebut, juga janganlah timbul perasaan suudz dzon (buruk sangka) terhadap sahabatnya itu.

· Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik dan tidak memandang rendah terhadap saudara yang dinasihati.

· Pemberi nasihat janganlah sekali-kali menganggap dirinya lebih mulia bahkan hendaklah merahsiakan kesilapan dan keaiban sahabatnya itu.

· Dalam apa jua keadaan sekalipun, janganlah sekali-kali kita merasa tawar hati terhadap sahabat yang bersalah tadi, malah hendaklah memberikan kasih sayang kepadanya sehinggalah berlaku perubahan yang dikehendaki. Saudara yang diberi nasihat pula janganlah menunjukkan kedegilan dan sikap keras kepalanya kepada pemberi nasihat. Ini kerana martabat “berkasih sayang kerana Allah” adalah setinggi-tinggi martabat kasih sayang sesama manusia.


c) At-Takaful (Bantu-membantu)

· Bantu-membantu antara satu dengan yang lain. Rukun ini adalah dasar memelihara nasib sesama sendiri, supaya jangan ada ahli yang terbiar dan terlantar, tidak terbela. Maksudnya, anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya.

· Takaful merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan dan merupakan intisari daripada ukhuwwah yang murni. Antara usaha yang dapat dilakukan ialah dengan saling bertanya khabar, saling menziarahi dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Sekiranya seseorang kamu pergi menunaikan suatu keperluan saudaranya adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf dalam masjidku selama sebulan”.



Pelaksanaan Usrah

a) Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib.

b) Sembahyang berjama’ah, membaca Al-Quran adalah rukun utama majlis usrah.

c) Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk tertentu yang telah ditetapkan dahulu, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teks silibus. Setiap naqib harus mempunyai silibus usrah dan bersedia dengan bahan untuk perbincangan pada usrah tersebut.

d) Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkan khusus untuk organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat islam di luar dan di dalam negeri.

e) Usrah dikehendaki bersurai pada masa yang ditetapkan sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-‘Asr.


Adab-adab Usrah


• Mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah s.w.t. sebagaiman firman-Nya: “Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Taala”. [Al-An’aam : 162].

• Datang ke tempat usrah tepat pada waktu yang ditetapkan.

• Meminta izin untuk masuk dan keluar usrah serta memberi salam sebelum masuk usrah.

• Datang ke majlis usrah dalam keadaan berwudhu’.

• Datang ke majlis usrah dengan persiapan dan membawa keperluan yang diperlukan seperti Al-Quran, teks usrah dan buku catatan.

• Hadir usrah dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam.

• Mendahului majlis usrah dengan Al-Fatihah, pujian dan syukur ke hadrat Allah s.w.t, serta selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Menutup majlis dengan bacaan Surah Al-Asr dan Tasbih Kaffarah.

• Jangan mengangkat suara yang tinggi melebihi keperluan, tidak banyak ketawa dan tidak banyak bergurau serta tidak banyak bertengkar.

• Berada dalam keadaan sopan santun dan berbincang dengan baik dalam segala perkara yang dibangkitkan.

• Bersalaman dan bermaafan selepas selesai usrah.

0 comments: