BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 8, 2009

Hukum Merai Perayaan Lain

Pelbagai fatwa telah dikeluarkan berhubung isu ini. Sebagai contoh, Ibnul-Qayyim dalam bukunya Ahkamu Ahli az-Zimmah 1/205 menyatakan,
"Menyampaikan ucapan selamat terhadap syiar-syiar kekufuran yang bersifat khusus adalah haram menurut kesepakatan ulama, seperti ucapan di saat perayaan atau puasa mereka".

Fatwa MUI (Majlis Ulama Indonesia yang dipengerusikan oleh Syeikh Hamka) pada tarikh 7 Mac 1981 juga mengeluarkan fatwa yang mengharamkan umat Islam Indonesia merayakan bersama perayaan Hari Krismas atau Hari Natal kerana perayaan itu berbentuk ibadah dan bercanggah dengan aqidah umat Islam.


Fatwa ini adalah berdasarkan beberapa nas, antaranya, hadis nabi yang bermaksud, "Ketika Rasul sampai di Madinah, penduduk Madinah merayakan dua hari (raya) yang mereka bermain (berseronok) pada hari-hari tersebut... Apabila Nabi melihat mereka menyambut dua hari tersebut Nabi bertanya, ‘Hari apakah kedua-dua hari ini?'. Mereka menjawab, ‘Adalah kami di zaman jahiliah bermain (berseronok) pada dua hari ini'. Maka Nabi bersabda, ‘Sesungguhnya Allah telah menggantikan bagi kamu semua dengan hari yang lebih baik daripada kedua hari tersebut iaitulah hari raya Aidiladha dan Hari raya Aidilfitri'."


Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasaii daripada Anas Bin Malik. Imam Ibn Taimiyyah berkata, "Sesungguhnya sanad hadis ini adalah berdasarkan syarat Muslim".



Umat Islam Disuruh Berbaik-Baik


Walau bagaimanapun, di satu sudut yang lain umat Islam disuruh berbaik-baik dan bertoleransi dengan golongan bukan Islam yang tidak memerangi kita. Allah berfirman dalam surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud, "(Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu karena agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim".


Dalam surah an-Nisa' ayat 36 pula Allah berfirman,

"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh".


Menurut Imam al-Qartubi dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, "Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap mereka yang Muslim ataupun yang kafir. Inilah pendapat yang sahih. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman".


Justeru, setelah mengambil kira kesemua ini, secara dasarnya kita tidak diizinkan untuk merayakan dan menghidupkan syiar agama lain seolah-olahnya ia merupakan sebahagian daripada syiar kita. Hal ini tetap dilarang oleh agama selaras dengan apa yang fatwakan oleh ulama sebelum ini. Namun untuk melafazkan ucapan selamat kepada mereka dengan niat untuk memelihara hubungan baik dengan mereka maka ia tidaklah dilarang.


Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research) dan dilaporkan di IslamOnline.net bertarikh 23 April, 2006, "Maka tidaklah salah untuk bertukar-tukar hadiah dengan mereka yang bukan Islam. Seseorang Muslim dibenarkan untuk mengucapkan selamat kepada yang bukan Muslim pada hari perayaan mereka dan ini menjadi satu kewajipan jika yang bukan Muslim itu mengucapkan selamat pada hari perayaan yang disambut oleh orang-orang Islam. Malah tidaklah salah menghantarkan kad pada hari perayaan mereka selagi mana tidak terdapat padanya logo-logo dan lambang yang bercanggah dengan akidah Islam".


Tambahan daripada itu, mengikut at-Tahawi dalam Sharh Mushkil Al-Athar, agama tidak melarang umatnya dari menerima hadiah atau memberi hadiah kepada mereka yang bukan Muslim selagi mana hadiah-hadiah ini tidak termasuk dalam perkara yang jelas diharamkan agama, seperti arak dan babi. Hal ini disebabkan Nabi pernah menerima hadiah daripada Raja Mesir (yang bukan Muslim) dan daripada yang lain yang seumpamanya.


Bagaimana pula dengan mereka yang baru memeluk Islam sedangkan keluarga mereka tetap berada dalam kekufuran, adakah mereka diizinkan untuk kembali ke rumah keluarga mereka untuk makan bersama-sama di samping beramah mesra dengan sanak saudara pada hari perayaan mereka?


Berhubung dengan ini Dr. Jamal Badawi, ahli Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (European Council for Fatwa and Research), dan Syeikh Ahmad Kutty, tokoh agama dan pensyarah kanan di Islamic Institute of Toronto, Ontario, Kanada, memfatwakan, adalah harus seseorang itu kembali untuk menziarahi keluarganya yang bukan Muslim dan makan bersama-sama mereka pada hari perayaan itu. Walau bagaimanapun perlu dipastikan di dalam majlis itu tidak terdapat unsur-unsur yang haram, seperti arak dan yang seumpamanya. Adapun penglibatan dalam aktiviti berunsurkan keagamaan secara khusus, ia tetap dilarang dan diharamkan. Ketika beramah mesra dengan sanak saudara, mereka hendaklah mengambil kesempatan itu untuk menerangkan kepada mereka tentang Islam.



Fatwa ini dilaporkan di IslamOnline pada 22 Disember 2005.

Disusun dan edit untuk mindasuper.com oleh Dr. Danial Zainal Abidin
(www.mindasuper.com)

0 comments: